Saturday, December 19, 2015

Larangan Menyakiti Hati Jiran

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(HR. Bukhari,no.6475. Muslim,no.47)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Syuraih,Nabi ﷺ bersabda,
“Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah, tidak beriman. Demi Allah, tidak beriman’. Baginda ditanya: ‘Siapakah dia (yang tidak beriman itu), ya Rasulullah?’ Baginda lalu bersabda: ‘Orang yang jiran atau tetangganya tidak berasa aman daripada gangguannya’.”
(HR. Bukhari,no.6016)

:: Hadis 3 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.”
(HR. Bukhari,no.6015. Muslim,no.2625. Abu Daud,no.5152. at-Tirmidzi,no.1943)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ  bersabda,
“Wahai Aba Dzar, jika kamu masak, maka perbanyakkanlah kuah dan beringatlah untuk jiran-jiran kamu dengan memberinya.”
(HR. Muslim,no.2625)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Wahai wanita-wanita muslimah! Janganlah seorang itu meremehkan hadiah daripada jirannya, meskipun hadiah itu sekadar bahagian kaki kambing yang tidak mempunyai daging.”
(HR. Bukhari,no.2566. Muslim,no.1030)

:: Hadis 6 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Wahai Rasulullah, aku mempunyai dua jiran. Yang mana satukah aku perlu berikan hadiah?’ Maka baginda ﷺ menjawab: ‘Kepada yang paling dekat pintunya darimu’.”
(HR. Bukhari,no.2259 & 6020)

NOTA:
Syaikh Musthofa al-‘Adawi berkata dalam video facebook rasmi beliau, bahawa ‘jiran’ di dalam hadis-hadis ini juga termasuk jiran yang bukan islam, berdasarkan zahir umum hadis-hadis ini (rujuk: video).

:: Hadis 7 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya si fulanah disebut-sebut kerana banyak solatnya, puasanya, dan sedekahnya, tetapi dia menyakiti jiran-jirannya dengan lidahnya’. Rasulullah menjawab: ‘Dia berada di neraka’. Lelaki itu bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan si fulanah yang disebut-sebut kerana sedikit puasanya, sedikit solatnya, dan sedikit sedekahnya, tetapi dia bersedekah dengan sedikit keju kering dan tidak menyakiti jiran-jirannya dengan lidahnya?’ Rasulullah menjawab: ‘Dia berada di syurga’.”
(HR. Ahmad,no.9675. al-Bazzar,no.9713. Ibnu Hibban,no.5764. al-Hakim,no.7304. Ini lafaz Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih at-Targhib,no.2560). Dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, katanya: “Isnadnya hasan” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.9675)