Wednesday, November 11, 2015

Kisah Seorang Gadis Bermimpi Ibunya Diazab Kerana Bakhil (Kedekut)

dari Abu Kabsyah al-Anmari,dia berkata,
“Seorang gadis datang menemui Rasulullah ﷺ dengan tangan kanannya disorokkan ke dalam poket bajunya, dari raut wajahnya, anak gadis ini sedang menanggung kesakitan yang amat sangat.

Lalu Rasulullah ﷺ menegurnya: ‘Wahai anakku, kenapa wajahmu menampakkan kamu sedang kesakitan dan apa yang kamu sorokkan di tanganmu?’

Lalu gadis malang ini pun menceritakan hal yang berlaku padanya: ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya aku adalah anak yatim piatu. Malam tadi aku telah bermimpi dan mimpiku itu telah membuatkan aku menanggung kesakitan ini’. Balas gadis tadi.

‘Jika tidak jadi keberatan, ceritakanlah mimpimu itu wahai anakku’. Rasulullah ﷺ mula tertarik dengan penjelasan gadis tersebut.

‘Aku bermimpi berjumpa ibuku di dalam neraka. Keadaannya amat menyedihkan. Ibuku meminta diberikan air kerana dia amat dahaga kerana kepanasan api neraka itu hingga peluh tidak sempat keluar kerana kekeringan sekelip mata’. Gadis itu berhenti seketika menahan sebak. ‘Kemudian ku lihat di tangan kirinya ada seketul keju dan di tangan kanannya ada sehelai tuala kecil. Beliau mengibas-ngibaskan kedua-dua benda tersebut untuk menghalang api dari membakar tubuhnya. Lantas aku bertanya ibuku, kenapa dia menerima balasan sebegitu rupa sedangkan ketika hidupnya ibuku adalah seorang hamba yang patuh dengan ajaran islam dan isteri yang taat kepada suaminya? Lalu ibuku memberitahu bahawa ketika hidupnya dia amat bakhil. Hanya dua benda itu sahaja iaitu seketul keju dan sehelai tuala kecil pernah disedekahkan kepada fakir. Yang lainnya hanya untuk bermuka-muka dan menunjukkan kelebihan hartanya sahaja.

Lalu aku terus mencari ayahku. Rupanya beliau berada di syurga dan sedang menjamu penghuni syurga dengan makanan yang lazat dan minuman dari telaga nabi. Ayahku memang amat terkenal kerana sikapnya yang dermawan dan kuat beramal.

Lalu aku bertanya kepada ayahku:
“Wahai ayah, ibu sedang kehausan dan menanggung azab di neraka. Tidakkah ayah ingin membantu ibu sedangkan di dunia ku lihat ibu amat mentaatimu dan menurut perintah agama”.

Lalu dijawab oleh ayahnya:
“Sesungguhnya beliau dan semua penghuni syurga telah dilarang oleh Allah dari memberi walau setitik air kepada isterinya kerana itu adalah pembalasan untuk kebakhilan yang dilakukan ketika di dunia”. 

Oleh kerana kasihan melihat azab yang diterima oleh ibuku, aku lantas menceduk sedikit air mengguna tapak tangan kananku lalu dibawa ke neraka. Belum sempat air tersebut mencecah bibir ibuku, api neraka telah menyambar tanganku sehingga melecur. Seketika itu juga aku tersedar dan mendapati tapak tanganku melecur teruk. Itulah sebabnya aku datang berjumpa engkau ya Rasulullah’.

Panjang lebar gadis itu bercerita sambil airmatanya tidak henti-henti mengalir di pipi. Rasulullah ﷺ kemudian meletakkan tongkatnya ke tapak tangan gadis tersebut lalu menadah tangan, berdoa memohon petunjuk dari Allah. Jika sekiranya mimpi gadis tersebut adalah benar,maka disembuhkanlah agar menjadi iktibar kepada beliau dan semua umat islam. Lalu berkat kebesaranNya tangan gadis tersebut sembuh.

Rasulullah ﷺ lantas berkata:
‘Wahai anakku, pulanglah. Banyakkan bersedekah dan berzikir dan pahalanya kau berikan kepada ibumu. Mudah-mudahan segala dosanya terampun. INSYAALLLAH’.”

NOTA:
Ustaz Dr.Rozaimi berkata (dalam facebook rasmi beliau),bahawa imam Adz-Dzahabi menilai hadis (kisah) ini sebagai 'Wahi' (terlalu lemah: tidak sahih). Maka tidak boleh disebar tanpa memberitahu tentang statusnya. Wallahua'lam.

Wajib Membaca al-Fatihah Ketika Solat (Termasuk Ketika Menjadi Makmum)

dari ‘Ubadah bin as̄-S̄omit,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak (sah) solat bagi orang yang tidak membaca fatihah al-kitab (yakni Surah al-Fatihah).”
(HR. Bukhari,no.756. Muslim,no.394)

NOTA:
Selain mazhab Syafi'i yang berpendapat makmum wajib membaca al-Fatihah ketika solat berjemaah, imam al-Bukhari juga berpendapat sedemikian, berdasarkan tabwib (penamaan bab-bab) yang beliau letak dalam kitab Sahih-nya dengan tajuk: باب وجوب القراءة للإمام والمأموم في الصلوات كلها في الحضر والسفر وما يجهر فيها وما يخافت (Bab Wajib Membaca al-Fatihah bagi Imam dan Makmum di Semua Solat dan di Mana Saja, Ketika Mukim atau Ketika Musafir, dan Apa yg Dibaca Kuat atau yang Dibaca Perlahan). Wallahua’lam. Sebahagian Ulama’ berpendapat bahawa makmum tidak wajib membaca al-Fatihah (terutama pada solat Jahar) berdasarkan beberapa hadis, salah satunya adalah:

:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa,Nabi ﷺ bersabda,
“..Apabila imam membaca, maka diamlah”
(HR. Muslim,no.404)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh para Ulama’ Hadis, kerana hadis ini tidak mahfuzh (terpelihara). Ia dinilai Dhaif oleh imam Abu Daud dengan katanya: “perkataan ‘maka diamlah’ lafaz tersebut tidak mahfuzh (terpelihara), tidak ada dalam hadis ini melainkan dari (perawi) Sulaiman at-Taimi” (rujuk: Sunan Abu Daud,no.972). Imam ad-Daraquthni juga menilai Dhaif akan hadis ini dengan berkata, bahawa hadis ini diriwayatkan dari Hisyam al-Dastawa‘i, Sa‘id, Syu’bah, Hammam, Abu ‘Awanah, Aban dan ‘Adiy bin Abi ‘Umarah dari Qatadah, dan tidak seorangpun di antara mereka yang berkata: ‘Jika dia membaca, maka dengarlah..” (rujuk: Sunan,1/324). Dalam kitabnya al-‘ilal, ad-Daraquthni berkata bahawa Sulaiman at-Taimi perawi yg tsiqah (dipercaya), namun dlm hadis ini beliau menambah perkataan itu (rujuk: al-‘ilal,7/68).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Yang dijadikan imam adalah untuk diikuti. Maka bila ia bertakbir, maka bertakbirlah kamu dan jika ia sedang membaca (al-Quran), maka diamlah..”
(HR. an-Nasaie,no.921)

NOTA:
Hadis ini juga dinilai ‘Dhaif’ oleh para Ulama’ Hadis kerana ia tidak mahfuzh (terpelihara). Hadis ini diriwayatkan oleh (perawi) Abu Khalid al-Ahmar dari Ibnu ‘Ajlan. Kata imam Yahya ibn Ma‘in: “Dalam hadis Abu Khalid al-Ahmar (Sulaiman bin Hayyan), hadis (Muhammad) Ibnu ‘Ajlan: ‘Jika imam membaca, maka diamlah’, Laisa bi syai (tiada nilai) dan ia tidak tsabit dan ia lemah” (rujuk: Tarikh Yahya ibn Ma'in,3/455). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam al-Bukhari (rujuk: al-Qira'ah Khalfa al-Imam,m/s 23). Juga dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim,dengan katanya: “Kalimah ini tidak terpelihara. Dan ia adalah campuran dari Ibnu ‘Ajlan” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,al-'ilal,1/115,no.465). Juga dinilai Dhaif oleh Abu Daud, dengan katanya: “Tidak terpelihara, dan kesalahan pada kami dari Abu Khalid” (rujuk: Sunan Abu Daud,1/165,no.605). Kata imam an-Nasaie: “Kami tidak mengetahui seorangpun yang mengikuti Ibnu ‘Ajlan pada ucapannya ‘Jika ia membaca, maka diamlah’” (rujuk: Sunan an-Nasaie,2/141). Kata ad-Daraquthni: “Perkataan ini tidak terpelihara dalam hadis ini” (rujuk: al-'ilal ad-Daraquthni,8/51).