Sunday, November 23, 2025

Larangan Menoleh Ketika Solat

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’.”
(HR. Bukhari,no.751)

NOTA:
Imam al-Mawardi menyebutkan, bahawa menoleh ketika solat adalah makruh dalam setiap keadaan (rujuk: al-Hawi al-Kabir,2/188). Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah: “Tidak ada perbezaan pendapat di antara fuqaha’ mengenai makruhnya berpaling (menoleh) dalam solat, berdasarkan hadis daripada ‘Aisyah, katanya: ‘Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat’. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’. Keadaan makruh ini tertakluk kepada ketiadaan keperluan atau keuzuran. Namun, jika terdapat keperluan, seperti ketakutan terhadap diri sendiri atau harta, maka ia tidak makruh” (rujuk: al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah,27/109).

Thursday, November 13, 2025

Solat Sunat 4 Rakaat Selepas Solat ‘Isyak: Pahalanya Seperti Lailatul Qadar

:: Hadis ::
dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi ﷺ. Pada malam itu, Nabi ﷺ berada di sisinya. Maka Nabi ﷺ menunaikan solat ‘Isyak, kemudian baginda pulang ke rumahnya dan menunaikan solat (sunat) empat rakaat...”
(HR. Bukhari,no.117)

:: Atsar 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,dia berkata,
“Barangsiapa yang menunaikan empat rakaat selepas solat ‘Isyak, maka (pahalanya) seakan-akan setara dengan (amal pada) malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7273)

:: Atsar 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Empat rakaat selepas solat ‘Isyak menyamai (pahala solat) pada malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7274)

:: Atsar 3 ::
dari ‘Abdullah (Ibn Mas‘ud),dia berkata,
“Barangsiapa yang solat empat rakaat selepas ‘Isyak tanpa memisahkan antara rakaat-rakaat itu dengan salam, seolah-olah mereka melakukannya di malam al-Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7275)

NOTA:
Ketiga-tiga Atsar tersebut dinilai sahih mauquf (sebagai kata-kata sahabat) oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi (rujuk: video). Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi, solat ini dilakukan dengan 4 rakaat, 1 salam. Namun kata beliau, berlaku khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan ulama’ sama ada solat sunat 4 rakaat dilakukan dengan dua tasyahud (mempunyai tahiyat awal dan tahiyat akhir) seperti solat Zohor dan ‘Asar, atau hanya satu tasyahud (tanpa tahiyat awal). Kata beliau, dalam bab ini ada keluasan dan kelonggaran sama ada mahu melakukkannya dengan dua tasyahud atau satu tasyahud. Adapun tentang kategori jenis solat ini, solat ini termasuk dalam solat sunat malam (solat Qiyamullail), bukan solat Rawatib. Wallahua‘lam.

Thursday, October 9, 2025

Tentang ‘Chemistry’ (Keserasian Semula Jadi)

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Roh-roh itu bagaikan pasukan yang tersusun; yang saling mengenal akan saling bersepakat, dan yang tidak saling mengenal akan saling berselisih.”
(HR. Muslim,no.2638)

Sunday, August 24, 2025

Doa Ketika Pagi Dan Petang

● DOA KETIKA PAGI ●

أَصْبَحْنَا وَأَصْبَحَ الْمُلْكُ لِلَّهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهُ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِيْ هَذَا الْيَوْمِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهُ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوْءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

As̄-baẖnaa wa as̄baẖal mulku lillah, walẖamdulillah. Laa ilaha illallah waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku wa lahul ẖamdu wa huwa ‘alaa kulli syai-in qodiir. Robbi as-aluka khoiro maa fii hadzal yaum, wa khoiro maa ba’dahu, wa a‘uudzubika min syarri maa fii hadzal yaum, wa syarri maa ba’dahu. Robbi a‘uudzubika minal kasali, wa suu-il kibar. Robbi a‘uudzubika min ‘adzaabin fin-naari, wa ‘adzaabin fil qobri.

(Kami telah memasuki waktu pagi dan pagi yang kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya pujian. Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, aku mohon kepada-Mu kebaikan pada hari ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan pada hari ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada kemalasan dan daripada kejelekan pada hari tua. Wahai Tuhan, aku berlindung kepada-Mu dari azab neraka dan azab kubur)


● DOA KETIKA PETANG ●

أَمْسَيْنَا وَأَمْسَى الْمُلْكُ لِلَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهَا رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْكَسَلِ وَسُوءِ الْكِبَرِ رَبِّ أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ

Am-sainaa wa amsal mulku lillah, walẖamdulillah. Laa ilaha illallah, waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku, wa lahul ẖamdu wa huwa ‘alaa kulli syai-in qodiir. Robbi as-aluka khoiro maa fii hadzihil lailah, wa khoiro maa ba‘dahaa. Wa a‘uudzubika min syarri maa fii hadzihil lailah, wa syarri maa ba‘dahaa. Robbi a‘uudzubika minal kasali, wa suu-il kibar. Robbi a‘uudzubika min ‘adzaabin fin-naari, wa ‘adzaabin fil qobri.

(Kami telah memasuki waktu petang dan petang yang kerajaan hanya milik Allah, segala puji bagi Allah. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya pujian. Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu. Wahai Tuhan, aku mohon kepada-Mu kebaikan pada malam ini dan kebaikan sesudahnya. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan pada malam ini dan kejahatan sesudahnya. Wahai Tuhan, aku berlindung kepada-Mu daripada kemalasan dan daripada kejelekan pada hari tua. Wahai Tuhan, aku berlindung kepada-Mu dari azab neraka dan azab kubur)
(HR. Muslim,no.2723b)

Monday, August 18, 2025

Rasulullah Seorang Yang Dipercayai Dan Bukan Seorang Pendusta

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Ketika turunnya (Firman Allah Taala): ‘Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat’ (Surah al-Syu‘ara’ [26]: ayat 214), Nabi ﷺ panjat ke atas Gunung Safa dan mulalah baginda menyeru: ‘Wahai Bani Fihr! Wahai Bani ‘Adi!’ – iaitu suku-suku Quraisy – sehinggalah mereka berkumpul. Bahkan apabila seseorang tidak dapat keluar, dia akan mengirim utusan untuk melihat apa yang terjadi. Maka Abu Lahab dan kaum Quraisy datang. Lalu baginda bersabda: ‘Bagaimana pendapat kamu jika aku khabarkan kepada kamu bahawa ada pasukan berkuda di lembah yang ingin menyerang kamu, adakah kamu mempercayaiku?’ Mereka berkata: ‘Ya, kami tidak pernah mendapati kecuali engkau seorang yang jujur’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan bagi kamu sebelum datang azab yang dahsyat (di akhirat)’. Abu Lahab berkata: ‘Celakalah engkau sepanjang hari, adakah untuk ini engkau kumpulkan kami?’ Maka turunlah (ayat): ‘Binasalah kedua-dua tangan Abu lahab dan binasalah ia bersama! Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya’ (Surah al-Masad [111]: ayat 1-2).”
(HR. Bukhari,no.4770)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin Salam,dia berkata,
“Ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah, orang ramai bergegas ke arahnya dan dikatakan: ‘Rasulullah ﷺ telah datang’. Maka aku pun pergi bersama orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasulullah ﷺ dengan jelas, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah seorang pendusta. Perkara pertama yang baginda ucapkan ialah: ‘Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, solatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan memasuki syurga dengan selamat’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2485. Kata imam at-Tirmidzi: “Hadis ini sahih”)

Sunday, August 10, 2025

Istighfar Yang Berpahala Besar (Sayyidul Istighfar)

dari Syaddad bin Aus,Nabi ﷺ bersabda,
“Sayyidul Istighfar ialah engkau membaca:

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَىَّ وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ

Allahumma anta robbii, laa ilaha illa anta, kholaq-tanii wa anaa ‘abduka, wa anaa ‘alaa ‘ahdika wawa’-dika masta-tho’tu, a‘uudzubika min syarri maa s̄ona’tu, abuu-ulaka bi ni‘matika ‘alayya, wa abuu-ulaka bi-dzanbii, fagh-firlii, fa innahu laa yagh-firudz dzunuuba illa anta

(Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau, Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu, aku berusaha untuk memenuhi sumpah dan janjiku semampu kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu daripada segala kejahatan yang telah aku lakukan, aku mengakui nikmat-Mu ke atasku dan aku mengaku akan dosaku. Ampunilah dosaku, sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan segala dosa melainkan Engkau)

Sesiapa yang membacanya pada waktu siang (pagi) dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal pada hari itu sebelum masuknya malam, maka dia adalah ahli syurga. Sesiapa yang membacanya pada waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu dia meninggal sebelum masuknya waktu siang, maka dia adalah ahli syurga.”
(HR. Bukhari,no.6306)

Sunday, August 3, 2025

Doa Mustajab Di Antara Azan Dan Iqamah

dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Doa tidak ditolak di antara azan dan iqamah, maka berdoalah.”
(HR. Ahmad,no.12200. Abu Daud,no.521. at-Tirmidzi,no.212. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubro,no.9812]. Ibnu Khuzaimah,1/503. Dengan sedikit perbezaan-perbezaan lafaz, dan ini lafaz Ahmad)

NOTA:
Sanad hadis ini dinilai Jayyid (baik = sahih) oleh imam Ibn Qatthan (rujuk: Bayan al-Wahm wa al-Iham,5/227) dan imam al-‘Iraqi (rujuk: Faidhul Qadir,3/541). Hadis ini juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani, dengan katanya: “Isnadnya sahih, rijalnya kesemua mereka tsiqah, rijal (sahih) Muslim melainkan Buraid bin Abi Maryam, dia tsiqah tanpa khilaf” (rujuk: Irwa' al-Ghalil,1/262). Sanad hadis ini juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Zaad al-Ma‘ad,2/359). Hadis ini dinilai hasan oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

Friday, July 11, 2025

Doa Ketika Marah

dari Sulaiman bin Sard,dia berkata,
“Aku pernah duduk bersama Nabi ﷺ dan ada dua orang yang saling mengejek. Salah seorang telah merah mukanya dan membesar urat di lehernya. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya, aku mengetahui suatu perkataan yang jika dia ucapkan, maka akan hilang apa yang ada pada dirinya. Sekiranya dia mengucapkan:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
A‘uudzu-billahi minasy-syaithoonir-rojiim
(Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam)

maka akan sembuh apa yang ada pada dirinya.”
(HR. Bukhari,no.6115. Muslim,no.2610)

Saturday, June 21, 2025

Kesejukkan Azab Neraka

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Neraka pernah mengadu kepada Allah dengan berkata: ‘Wahai Tuhan, sebahagianku memakan sebahagian yang lain’. Lalu Allah mengizinkan untuk neraka itu dua hembusan, hembusan sejuk dan hembusan panas, iaitulah hembusan panas yang paling dahsyat dan hembusan sejuk yg paling dahsyat.”
(HR. Bukhari,no.3260. Muslim,no.617)

Friday, June 6, 2025

Solat Sunat Sebelum Maghrib (Qabliyah Maghrib)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin Mughaffal al-Muzni,Rasulullah ﷺ pernah bersabda,
“Solatlah sebelum maghrib”. Baginda mengulangnya sebanyak 3 kali dan pada kali yang ke-3 baginda menyebut: “Bagi mereka yang ingin melakukannya”. Baginda berkata demikian kerana baginda tidak mahu ianya dijadikan sebagai satu sunnah yang berterusan.”
(HR. Bukhari,no.1183)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi ﷺ berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi ﷺ keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat 2 rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.”
(HR. Bukhari,no.625)


:: Hadis 3 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Adalah kami di Madinah, jika dilaungkan azan oleh muadzzin untuk solat Maghrib, maka bersegeralah kami ke tiang-tiang masjid dan solat dua rakaat sehingga orang asing yang masuk ke masjid menyangka solat yang dilakukan itu adalah solat fardhu kerana ramai yang melakukannya.“
(HR. Muslim,no.837)

Wednesday, April 9, 2025

Waktu Yang Dilarang Untuk Solat Sunat

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Sesungguhnya Nabi ﷺ, telah melarang daripada melakukan solat (sunat) selepas solat subuh sehingga terbitnya matahari dan selepas solat ‘Asar sehingga terbenamnya matahari.”
(HR. Bukhari,no.581)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah menegah dari melakukan solat (sunat) selepas solat ‘Asar sehingga tenggelamnya matahari dan solat selepas subuh hingga terbitnya matahari.”
(HR. Muslim,no.825)

Friday, April 4, 2025

Kelebihan Sedekah

:: Hadis 1 ::
dari Asma' binti Abu Bakar,bahawa dia datang kepada Nabi ﷺ lalu baginda bersabda,
“Janganlah kamu menahan (pemberian), nescaya Allah akan menahan (pemberian-Nya) terhadapmu. Berikanlah (sedekahlah) sekadar yang kamu mampu.”
(HR. Bukhari,no.1434. Muslim,no.1029)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada satu hari pun di mana seorang hamba berpagian, melainkan dua Malaikat turun kepadanya. Salah satu dari keduanya berkata: ‘Ya Allah! Kurniakanlah kepada pemberi sedekah, gantian’. Manakala Malaikat satu lagi berkata: ‘Ya Allah! Jadikanlah kepada yang kedekut, kehilangan’.”
(HR. Bukhari,no.1442. Muslim,no.1010)

:: Hadis 3 ::
dari Hakim bin Hizam,dia berkata,
“Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pandanganmu tentang amalan-amalan yang aku lakukan pada zaman jahiliah, seperti bersedekah, memerdekakan hamba, dan menyambung silaturahim? Adakah aku mendapat pahala daripadanya?’ Lalu Nabi ﷺ bersabda: ‘Engkau telah memeluk Islam bersama kebaikan yang telah engkau lakukan sebelum ini’.”
(HR. Bukhari,no.1436,2220 & 5992. Muslim,no.123)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seorang isteri bersedekah makanan (atau harta) dari suaminya tanpa membuat kerosakan (yakni dengan izin suami), maka bagi isteri itu pahalanya atas apa yang dia sedekahkan. Begitu juga, bagi suaminya pahala dengan sebab apa yang dia usahakan. Dan seperti itu juga bagi hamba yang menguruskan harta tuannya.”
(HR. Bukhari,no.1347,1440 & 2065. Muslim,no.1024)

Thursday, March 13, 2025

Doa Ketika Kesempitan Rezeki

dari ‘Abdullah (bin Mas‘ud),dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah menerima seorang tetamu, lalu baginda mengutus seseorang kepada isteri-isterinya untuk mencari makanan di sisi mereka, tetapi baginda tidak menemui makanan di sisi seorang pun daripada mereka. Maka baginda pun berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ فَإِنَّهُ لَا يَمْلِكُهَا إِلَّا أَنْتَ
Allahumma innii As-aluka Min Fadhlika Wa Roẖmatika, Fa-innahu Laa Yamlikuhaa illaa Anta
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu akan kurnia-Mu dan rahmat-Mu, kerana sesungguhnya tiada yang memiliki keduanya melainkan Engkau).
Kemudian, dihadiahkan kepada baginda seekor kambing yang telah dipanggang. Maka baginda pun bersabda: ‘Ini adalah daripada kurniaan Allah, dan kita sedang menantikan rahmat-Nya’.”
(HR. ath-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Kabir,10/220,no.10379]. Abu Nu‘aim [rujuk: Hilyat al-Awliya',5/36])

NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di kalangan para ulama’ hadis. Hadis ini dinilai sahih oleh imam al-Haitsami, dengan katanya: “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani, dan perawinya adalah perawi-perawi sahih kecuali Muhammad bin Ziyad al-Barjami, dan beliau seorang yang tsiqah (dipercayai)” (rujuk: Majma’ al-Zawaid,10/159). Juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,1543. Sahih al-Jami’,1278). Namun imam Abu Nu‘aim sendiri menilainya dhaif (lemah: tidak sahih) setelah meriwayatkan hadis ini, kata beliau: “Ini adalah hadis gharib daripada riwayat Mis‘ar dan Zubaid, yang hanya diriwayatkan secara bersendirian oleh al-Barjami daripada ‘Ubaidullah” (rujuk: Hilyat al-Awliya',5/36). Imam al-Baihaqi juga menilai hadis ini dhaif, kata beliau: “Abu ‘Ali al-Husain bin ‘Ali al-Hafiz berkata: Muhammad bin ‘Abdan al-Ahwazi menceritakan hadis ini kepadaku daripada beliau. Dan yang sahih ialah riwayat daripada Zubaid, yang berkata: ‘Rasulullah ﷺ menerima seorang tetamu’ – dalam bentuk hadis mursal dari perkataan Zubaid. Muhammad bin ‘Abdan al-Ahwazi meriwayatkannya kepada kami, daripada ayahnya, daripada al-Hasan bin al-Harist al-Ahwazi, daripada ‘Ubaidullah bin Musa, daripada Mis‘ar, daripada Zubaid, yang berkata: ‘Rasulullah ﷺ menerima seorang tetamu’ dan menyebutkannya” (rujuk: Dalail an-Nubuwwah,6/128-129). Walaupun hadis ini kemungkinannya dhaif, akan tetapi boleh mengamalkannya, kerana ia hanyalah doa dan maknanya juga baik, dengan syarat tidak meyakini atau mengatakan bahawa doa ini daripada Nabi secara pasti. Wallahua‘lam.

Tuesday, March 11, 2025

Kelebihan Mempunyai Anak Perempuan

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Suatu hari seorang wanita telah datang kepadaku bersama dengan dua orang anak perempuannya untuk meminta sedekah. Aku pada ketika itu tidak mempunyai sesuatu untuk disedekahkan kecuali sebiji tamar sahaja. Lalu aku pun memberikan tamar tersebut kepadanya. Wanita itu pun membahagikan sebiji tamar tersebut kepada dua orang anak perempuannya, dan beliau sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun bangun dan beredar. Setelah itu, Nabi ﷺ masuk ke dalam rumah, lalu aku pun menceritakan kepadanya tentang kejadian tersebut. Kata baginda: ‘Sesiapa yang dikurniakan anak-anak perempuan, kemudian dia menanggung belanja dan keperluan mereka, kelak mereka akan menjadi pelindungnya dari api neraka’.”
(HR. Bukhari,no.1418 & 5995. Muslim,no.2629)

Sunday, March 9, 2025

Orang Miskin Ramai Di Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari ‘Imran,Nabi ﷺ bersabda,
“Aku melihat ke dalam syurga, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang miskin. Dan aku melihat ke dalam neraka, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.”
(HR. Bukhari,no.6546)

:: Hadis 2 ::
dari Usamah,Nabi ﷺ bersabda,
“Aku berdiri di pintu syurga, lalu aku melihat bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah orang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan terlebih dahulu, kecuali mereka yang telah diperintahkan untuk masuk ke dalam neraka. Kemudian aku berdiri di pintu neraka, maka aku mendapati bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah wanita.”
(HR. Bukhari,no.6547. Muslim,no.2736)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang-orang faqir akan memasuki syurga 500 tahun sebelum orang-orang kaya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2353. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)