● MERENGGANGKAN TAPAK KAKI ●
:: Hadis 1 ::
dari Abu Humaid,dia berkata,
“..Apabila baginda sujud, baginda merenggangkan kedua pahanya dan menjauhkan perut dari pahanya.”
(HR. Abu Daud,no.735)
NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/80). Namun hadis ini dijadikan hujjah oleh imam asy-Syaukani bahawa tapak kaki direnggangkan ketika sujud, kata beliau: “Ungkapan ‘merenggangkan kedua pahanya’ maksudnya adalah merenggangkan antara kedua pahanya, kedua lututnya dan kedua tapak kakinya.” Para ulama’ dalam mazhab Syafi‘i berkata: ‘Merenggangkan antara kedua tapak kaki kadar sejengkal” (rujuk: Nailul Authar,2/297).
● MERAPATKAN TAPAK KAKI ●
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku kehilangan Rasulullah ﷺ, padahal sebelumnya baginda tidur disisiku. Tiba-tiba aku menjumpai baginda sedang sujud dalam keadaan merapatkan kedua tumit baginda dan hujung-hujung jari kaki baginda menghadap Kiblat.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.654. Ibnu Hibban,no.1933. al-Hakim,no.832)
NOTA:
Hadis ini ‘Munkar’ (tidak sahih), kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim dengan katanya: “La Yuhtajju Bihi (tidak boleh berhujjah dengannya)” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta’dil,9/128). Kata Ibn Sa‘ad: “Dia Munkarul Hadis” (rujuk: ath-Thabaqat al-Kubra,7090). Imam Ahmad berkata: “Buruk hafalannya”. Imam ad-Daraquthni berkata: “Sebahagian hadisnya idhthirab (goncang)” (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mughni fi adh-Dhu’afa’,6931). Kata an-Nasaie: “Tidak kuat dan tidak boleh dijadikan hujjah” (rujuk: Ibnu Jauzi,ad-Dhu’afa’, wal Matrukin,3694).
NOTA (2):
Akan tetapi, walaupun hadis ini tidak sahih, namun terdapat hadis sahih yg secara tidak langsung menunjukkan bahawa tumit Rasulullah ﷺ rapat ketika sujud:
:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Pada suatu malam aku tidak mendapati Rasulullah ﷺ di perbaringan, lalu aku mencarinya. Tiba-tiba tanganku menyentuh di kedua tapak kakinya dan ternyata baginda sedang bersujud dan kedua tapak kakinya dalam keadaan tegak..”
(HR. Muslim,no.486. Abu Daud,no.745)
NOTA:
daripada hadis ini lah, Syaikh Soleh al-‘Utsaimin berpendapat bahawa merapatkan tapak kaki ketika sujud adalah Sunnah, kata beliau: “Yang tampak dalam sunnah adalah kedua tapak kaki dirapatkan. Ertinya dirapatkan satu sama lain sebagaimana terdapat dalam hadis sahih tatkala dia (‘Aisyah) mencari-cari Nabi ﷺ lalu tangannya menyentuh kedua tapak kakinya yang sedang ditegakkan ketika dia sujud. Satu tangan tidak akan menyentuh kedua tapak kaki, kecuali kalau keduanya dalam keadaan rapat.” (rujuk: asy-Syarhul Mumti,3/169). Walaupun begitu, seorang Muhaddis (Ahli Hadis) iaitu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz at-Tharifi berpendapat bahawa tapak kaki tetap direnggangkan. Kerana menurut beliau, ucapan ‘Aisyah bahawa “tersentuh kedua-dua tapak kaki baginda” tidak semestinya mencantum tumit. Boleh jadi maknanya, satu tangan menyentuh kedua-dua kaki orang yg solat yg tidak bercantum (dirapatkan), seperti kedua kakinya hanya berdekatan. Maka tapak tangan menyentuh kaki kanannya sedangkan lengan tangan menyentuh kaki kirinya. (rujuk: Sifat Solat Nabi,132-133).
KESIMPULAN:
Perkara ini berlaku khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Ulama’, maka setiap orang boleh memilih mana-mana pendapat samada merenggangkan tapak kaki ataupun merapatkan tapak kaki berdasarkan keyakinan hujjah ataupun berdasarkan keselesaan masing-masing.
Wallahua’lam Bissowab.
MENU
▼
No comments:
Post a Comment