FADHILAT (KELEBIHAN) DAN GALAKAN SOLAT SUNAT RAWATIB:
:: Hadis 1 ::
dari Ummu Habibah (isteri Nabi ﷺ),dia berkata,
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari 12 rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardhu, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga’. Maka aku tidak pernah meninggalkannya sejak aku mendengarnya daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Muslim,no.728a)
:: Hadis 2 ::
dari Ummu Habibah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak 12 rakaat dalam sehari semalam, kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. 12 rakaat itu adalah 4 rakaat sebelum solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Zuhur, 2 rakaat setelah solat Maghrib, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. at-Tirmidzi,no.415. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)
NOTA:
Solat sunat Rawatib terbahagi kepada dua, pertama yang Mu‘akkad (ditekankan), kedua yang Ghairu Mu‘akkad (tidak ditekankan).
● SOLAT RAWATIB YANG MU‘AKKAD ●
• Dua rakaat sebelum Subuh
• Dua atau empat rakaat sebelum Zuhur
• Dua rakaat selepas Zuhur
• Dua rakaat selepas Maghrib
• Dua rakaat selepas ‘Isyak
2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) SUBUH:
:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“2 rakaat sunat fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.725)
:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ solat ‘Isyak kemudian baginda solat 8 rakaat, 2 rakaat dengan duduk, serta 2 rakaat di antara 2 azan (azan dan iqamat). Baginda tidak pernah meninggalkan 2 rakaat (sunat Fajar) tersebut.”
(HR. Bukhari,no.1159)
2 ATAU 4 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) & 2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) ZUHUR:
:: Hadis 6 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)
:: Hadis 7 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ tidak pernah meninggalkan 4 rakaat sebelum Zuhur dan 2 rakaat sebelum Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1182)
2 RAKAAT BA’DIYYAH (SELEPAS) MAGHRIB & ‘ISYAK:
:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi ﷺ tentang 10 rakaat (iaitu solat sunat), iaitu 2 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, 2 rakaat setelah solat ‘Isyak di rumahnya dan 2 rakaat sebelum solat Subuh.”
(HR. Bukhari,no.1180)
:: Hadis 9 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Aku solat bersama Rasulullah ﷺ dua rakaat sebelum Zuhur, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas Maghrib, dua rakaat selepas ‘Isyak, dan dua rakaat selepas Jumaat. Adapun solat Maghrib, ‘Isyak dan Jumaat itu, aku solat bersama Nabi ﷺ di rumah baginda.”
(HR. Muslim,no.729)
● SOLAT RAWATIB YANG GHAIRU MU‘AKKAD ●
• Dua rakaat sebelum Maghrib
• Dua rakaat sebelum ‘Asar
• Dua rakaat sebelum ‘Isyak
2 RAKAAT QABLIYYAH (SEBELUM) MAGHRIB:
:: Hadis 10 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi ﷺ berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi ﷺ keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat 2 rakaat sebelum (qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah.”
(HR. Bukhari,no.625)
2 RAKAAT (ATAU LEBIH) QABLIYYAH ‘ASAR DAN ‘ISYAK:
:: Hadis 11 ::
dari ‘Abdullah bin Mughaffal,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah), ada solat (sunat) – Baginda mengulanginya hingga 3 kali- bagi yang menghendakinya.”
(HR. Bukhari,no.624 & 627. Muslim,no.838)
:: Hadis 12 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah mengasihi orang yang mengerjakan solat 4 rakaat sebelum ‘Asar.”
(HR. Ahmad,no.5980. Abu Daud,no.1271. at-Tirmidzi,no.430. Dinilai gharib hasan oleh imam at-Tirmidzi)
NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di kalangan para ulama’ Hadis. Imam Abu Daud diam setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh di sisi beliau. Imam at-Tirmidzi berkata: “Gharib Hasan” setelah meriwayatkan hadis ini. Imam Ibnu Hibban memasukkan hadis ini di dalam kitab Sahih-nya, menunjukkan hadis ini sahih disisi beliau (rujuk: Sahih Ibnu Hibban,no.2453). Hadis ini juga dinilai sahih oleh Imam al-Mundziri (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,1/275), Syaikh Ahmad Syakir (rujuk: Takhrij al-Musnad,8/183), Syaikh Ibn Bazz, dengan katanya: “Isnadnya jayyid (baik), tidak mengapa padanya” (rujuk: al-Fawaid al-‘Ilmiyyah min ad-Durus al-Baaziyah,5/62). Hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1271. Sahih at-Tirmidzi,no.430), Syaikh al-Wadi‘i (rujuk: al-Sahih al-Musnad,no.714), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.5980. Takhrij Sahih Ibnu Hibban,no.2453. Takhrij Sunan Abi Daud,no.1271). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Imam Ibnu Qaththan, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Mihran, yang mana beliau menukilkan perkataan ‘Amr bin ‘Ali bahawa dia berkata: “Abu Daud at-Thayalisi meriwayatkan daripadanya beberapa hadis yang Munkar. Dan hadis ini termasuk dalam riwayat Abu Daud at-Thayalisi daripadanya” (rujuk: al-Wahm al-Ilham,5/702) dan di dalam kitab beliau yang lain beliau menyebutkan: “Di dalam (sanad)nya terdapat Muhammad bin Mahyan, dan dia dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah” (rujuk: Faid al-Qadhir,4/24), Imam Ibnu ‘Abdul Hadi juga menilai hadis ini Dhaif dengan katanya: “Dinilai lemah oleh Abu Zur‘ah para perawinya” (rujuk: al-Muharrar fil-Hadis,135). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video), namun kata beliau, sekalipun sanad hadis ini Dhaif, namun ia boleh diamalkan berdasarkan hadis umum yang lain (rujuk Hadis 11).
Wallahua‘lam.
MENU
▼
No comments:
Post a Comment