MENU

Wednesday, September 4, 2013

Kelebihan Solat Fardhu (Wajib) 5 Waktu

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi, yang akan mewarisi Syurga Firdaus, mereka kekal didalamnya.”
(al-Mukminun [23]: ayat 9-11)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,dia berkata,
“Ada seorang lelaki mencium seorang wanita. Kemudian lelaki itu memberitahu perkara berkenaan kepada Nabi ﷺ. Dengan sebab itu, Allah menurunkan ayat al-Quran yg bermaksud: ‘Tunaikanlah sembahyang antara waktu siang dan malam. Sebenarnya, pahala daripada amalan baik itu dapat menghapuskan semua dosa amalan jahat’ (Hud [11]: ayat 114). Lelaki itu bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah ayat itu ditujukan kepadaku sahaja?’ Rasulullah menjawab: ‘Untuk seluruh umatku’.”
(HR. Bukhari,no.526)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah,dia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu dia berkata: ‘Ya Rasulullah! Aku telah berdosa, kerana aku bermesraan dengan seorang perempuan di pinggir kota Madinah. Aku telah melakukan dosa dengannya, kecuali bersetubuh. Maka hukumlah aku dengan hukuman apa sahaja yang engkau kehendaki’. Maka ‘Umar bin Khatthab berkata kepadanya: ‘Seandainya engkau menutup rahsia dirimu, nescaya Allah sudah tutup kesalahanmu itu’. Nabi ﷺ tidak membantah sedikitpun ucapan ‘Umar tersebut. Maka berdirilah lelaki itu, kemudian dia pergi. Lalu Nabi ﷺ menyuruh seseorang menyusul dan memanggilnya kembali. Kemudian baginda membaca kepadanya ayat ini: ‘Dan dirikanlah solat, pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan (dosa). Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat’ (Hud [11]: ayat 114). Maka bertanyalah seseorang dari suatu kaum yang hadir: ‘Ya Nabiyullah! Adakah ayat itu ditujukan khusus untuknya sahaja?’ Nabi ﷺ menjawab: ‘Bahkan untuk seluruh umat manusia’.”
(HR. Muslim,no.2763)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Ustman bin ‘Affan,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang Muslim yang hendak mendirikan solat lima waktu apabila tiba waktunya, lalu berwudhu’ dengan sempurna. Kemudian dia solat penuh tumpuan (khusyuk) serta sempurna juga rukuknya. Solat itu menghapuskan semula dosa yang dilakukan oleh orang itu, sebelum dia mendirikan solat berkenaan. Kelebihan ini diberikan kepada orang itu dengan syarat dia tidak melakukan dosa besar sebelum dia mendirikan solat itu. Kelebihan ini diberikan pada sepanjang masa”.
(HR. Muslim,no.228)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Abdullah ibnu Mas‘ud,ia berkata,
“Aku pernah bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Amalan apakah yang paling dicintai Allah?’ Baginda bersabda: ‘Solat pada waktunya’. Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab: ‘Berbakti kepada kedua orang tua’. Aku bertanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?’ Baginda menjawab: ‘Berjihad di jalan Allah’. Aku melanjutkan: ‘Baginda sudah memberitahu kepadaku semuanya, sekiranya aku minta tambahan, nescaya baginda pun akan menambah (amalan) lain kepadaku’.”
(HR. Bukhari,no.5970. Muslim,no.85)

:: Hadis 5 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ,aku katakan: ‘Wahai Rasulullah,apakah amalan yang paling afdhal?’ Baginda menjawab: ‘Solat pada waktunya’. Kemudian aku tanyakan lagi: ‘Kemudian apa?’ Baginda menjawab: ‘Kemudian berbakti kepada kedua orang tua’. Lalu aku tanya lagi: ‘Kemudian apa lagi?’ Baginda menjawab: ‘Jihad di jalan Allah’. Maka aku berhenti bertanya kepada Rasulullah ﷺ. Sekiranya aku menambah terus pertanyaan, baginda pasti akan menambah jawapannya kepadaku”.
(HR. Bukhari,no.2782. Muslim,no.85)

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bagaimana pendapat kamu seandainya ada sungai di depan pintu rumah salah seorang dari kamu, lalu dia mandi lima kali setiap hari? Apakah kamu merasa masih akan ada kotoran (daki) yang tersisa padanya?” Para sahabat menjawab: “Tidak akan ada yang tersisa sedikitpun kotoran padanya”. Lalu baginda bersabda: “Seperti itu pula dengan solat lima waktu, dengannya Allah menghapus kesalahan-kesalahan dengannya”.
(HR. Bukhari,no.528. Muslim,no.667)

:: Hadis 7 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Solat lima waktu dan solat Jumaat ke Jumaat berikutnya, Ramadhan ke Ramadhan berikutnya akan menghapuskan dosa di antara keduanya selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar”.
(HR. Muslim,no.233)

:: Hadis 8 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,bahawa Nabi ﷺ pernah menyebut tentang solat kemudian baginda bersabda,
“Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Fira’un, Haman, Qorun dan Ubai bin Khalaf.”
(HR. Ahmad,no.6288. dinilai 'Sahih' oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz at-Tharifi)

:: Hadis 9 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Solat adalah cahaya..”
(HR. Muslim,no.223)

:: Hadis 10 ::
dari Tsauban (bekas hamba Nabi ﷺ),ketika dia ditanya oleh Ma’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari tentang amalan yang boleh membuatkan Allah memasukkannya ke dalam syurga atau amalan yang paling disukai Allah, dia (Tsauban) menjawab,
“..Aku pernah menanyakan hal tersebut kepada Rasulullah ﷺ, maka baginda menjawab: ‘Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kepada Allah, kerana tidaklah kamu bersujud kepada Allah dengan sekali sujud, melainkan Allah akan mengangkat satu darjatmu, dan menghapuskan satu dosa’.”
(HR. Muslim,no.488)

:: Hadis 11 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Neraka akan melahap anak cucu Adam kecuali tanda bekas sujudnya..”
(HR. Bukhari,no.7437. Muslim,no.267)

:: Hadis 12 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan rasul-Nya, mendirikan solat dan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka Allah berhak memasukkannya ke dalam syurga, sama ada dia berhijrah fi sabilillah atau duduk di tempat tinggalnya, tempat dia dilahirkan...”
(HR. Bukhari,no.7423)

:: Hadis 13 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang menunaikan dua solat yang sejuk (Subuh dan Asar) akan masuk syurga.”
(HR. Bukhari,no.574. Muslim,no.635)

:: Hadis 14 ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
“Kami pernah duduk bersama ‘Umar, lalu dia berkata: ‘Siapa di antara kamu yang masih ingat sabda Rasulullah ﷺ tentang fitnah?’ Akupun menjawab: ‘Aku masih ingat seperti yang baginda sabdakan!’ ‘Umar bertanya: ‘Apakah kau dengar dari baginda sendiri atau dari orang lain?’ Jawabku: ‘Fitnah (musibah) seorang lelaki dalam keluarganya (isterinya), hartanya, anaknya dan jirannya dapat dihapuskan dengan solat, puasa dan sedekah serta mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran’...”
(HR. Bukhari,no.525. Muslim,144)

:: Hadis 15 ::
dari Thalhah bin ‘Ubaidillah,dia berkata,
“Seorang lelaki daripada Najd yang rambutnya kusut-masai datang kepada Rasulullah ﷺ, kami mendengar suaranya yang kuat tapi tidak memahami apa yang diucapkannya, sehinggalah dia menghampiri kami barulah kami tahu dia bertanya mengenai Islam. Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Hendaklah kamu solat lima waktu sehari semalam’. Lelaki itu bertanya: ‘Adakah aku perlu lagi solat yang lain?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Tidak, melainkan jika kamu mahu, kamu boleh mendirikan solat-solat sunat’. Rasulullah ﷺ melanjutkan sabdanya: ‘Dan puasa Ramadhan’. Lelaki itu bertanya: ‘Adakah aku perlu lagi puasa yang lain?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Tidak, melainkan jika kamu mahu, kamu boleh melakukan puasa-puasa sunat’. Rasulullah ﷺ melanjutkan sabdanya: ‘Zakat’. Lelaki tersebut bertanya: ‘Adakah kewajiban kami selain daripada itu?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Tidak, kecuali jika kamu mahu bersedekah sunat’. Lalu, lelaki tersebut pergi dan berkata: ‘Demi Allah, aku tidak akan tambah atau menguranginya’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Beruntunglah dia, jika apa yang diucapkannya itu benar-benar ditepatinya’.”
(HR. Bukhari,no.46)

:: Hadis 16 ::
dari Mu‘adz bin Jabal,Nabi ﷺ bersabda,
“...Pokok segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat dan ke muncaknya adalah berjihad...”
(HR. at-Tirmidzi,no.2616. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

No comments:

Post a Comment