MENU

Saturday, March 30, 2024

Manusia Mengingati Allah Ketika Susah Namun Mudah Lupa Ketika Senang

Allah ﷻ berfirman:
“Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan,merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan),sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya,ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.”
(Yunus [10]: ayat 12)

Friday, March 29, 2024

Talqin Orang Yang Sedang Nazak

dari Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Talqinkan mereka yang sedang menghadapi kematian dalam kalangan kamu (dengan): La ila ha illallah (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah).”
(HR. Muslim,no.916 & 917)

Thursday, March 28, 2024

Ahli Neraka Saling Menyalahkan Sesama Mereka

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu,dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk,mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya,berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: ‘Wahai Tuhan kami,mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka’. Allah berfirman: ‘Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui’. Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua) di antara mereka,kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): ‘(Jika demikianlah hukuman Tuhan),maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami’. (Allah berfirman): ‘Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan’.”
(al-A'raaf [7]: ayat 38-39)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Syaitan yang sentiasa menyertainya (di dunia dahulu) berkata: ‘Wahai Tuhan kami,aku tidak menyesatkannya tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong’. Allah berfirman: ‘Janganlah kamu berbalah lagi di hadapan-Ku,padahal (kamu sedia mengetahui bahawa) Aku dahulu telah memberi amaran kepada kamu (akan menyeksa orang-orang yang bersalah). Keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti,dan Aku tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-Ku’.”
(Qaaf [50]: ayat 27 - 29)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatkanlah perkara yang berlaku) semasa orang-orang yang kafir dan yang menderhaka berbantah-bantahan dalam neraka,iaitu orang-orang yang lemah (yang menjadi pengikut) berkata kepada pemimpin-pemimpinnya yang sombong takbur: ‘Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu,maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?’ Orang-orang yang sombong angkuh itu menjawab: ‘Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri),kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukuman-Nya di antara sekalian hamba-Nya’. Dan berkatalah pula orang-orang yang ada dalam neraka kepada malaikat-malaikat penjaga neraka Jahannam: ‘Pohonkanlah kepada Tuhan kamu,supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami sehari sahaja’.  Malaikat penjaga neraka menjawab: ‘Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?’ Mereka menjawab: ‘Ya,telah datang’. Malaikat itu berkata: ‘Jika demikian,maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja’.”
(Ghaafir [40]: ayat 47 - 50)

:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan masing-masing pun mengadap satu sama lain,sambil kata mengata dan cela mencela. Pengikut-pengikut berkata (kepada ketuanya): ‘Sesungguhnya kamu dahulu selalu datang menyekat kami (daripada beriman) dengan menggunakan kuasa kamu’. Ketua-ketuanya menjawab: ‘(Tidak!) Bahkan kamulah sendiri tidak mahu menjadi orang-orang yang beriman!’ Dan sekali-kali kami tidak berkuasa terhadapmu,bahkan kamulah kaum yang melampaui batas. Maka tetaplah di atas kita janji seksa (yang dijanjikan) oleh Tuhan kita,bahawa kita semua tentu akan merasai (azab itu). Maka kami pun mengajak kamu menjadi sesat,kerana sebenarnya kami adalah orang-orang sesat. Maka sesungguhnya mereka semua pada hari itu,menderita azab bersama.”
(as̄-S̄aaffaat [37]: ayat 27 - 33)

:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatlah) hari dihimpun musuh-musuh Allah untuk dibawa ke neraka,lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanannya masing-masing. Sehingga apabila mereka sampai ke neraka,(maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka,mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian),berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: ‘Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?’ Kulit-kulit badan mereka menjawab: ‘Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata telah menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dia-lah yang menciptakan kamu pada mulanya,dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)’.”
(Fus̄s̄ilat [41]: ayat 19 - 21)

Saturday, March 23, 2024

Solatlah Sebagaimana Rasulullah Solat

dari Malik bin al-Huwairist,dia berkata,
“Kami datang kepada Nabi ﷺ,sedang kami pada waktu itu merupakan para pemuda yang sebaya (dari segi umurnya). Kami tinggal di sisi baginda selama dua puluh malam,lalu baginda pun merasakan yang kami merindui keluarga kami,maka baginda pun bertanya kepada kami tentang mereka-mereka yang telah kami tinggalkan dalam keluarga kami,lalu kami pun mengkhabarkan kepada baginda,dan baginda merupakan seorang yang sangat lembut dan penyayang. Baginda bersabda: ‘Kembalilah kamu kepada (pangkuan) keluarga kamu. Ajarkanlah mereka (tentang agama) dan perintahkanlah mereka (untuk berbuat amalan-amalan yang baik),dan solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat,dan bila waktu solat telah tiba,maka hendaklah salah seorang di antara kamu (melaungkan) azan,dan kemudian hendaklah orang yang paling tua di antara kamu mengimami solat kamu’.”
(HR. Bukhari,no.6008)

Nabi ﷺ Larang Sahabat Ubah Doa Tidur Ini

dari al-Barra bin ‘Azib,Rasulullah ﷺ bersabda kepadaku,
“Jika kamu mendatangi tempat tidurmu, berwudhu’lah seperti wudhu’ untuk solat, setelah itu baringlah di atas rusuk kananmu dan membaca:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ، وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ‏
Allahumma aslamtu wajhi ilaik, wa fawwadh-tu amrii ilaik, wa aljaktu zhohrii ilaik, roghbatan wa rohbatan ilaik, laa malja-a walaa manjaa minka illaa ilaik, Allahumma aamantu bi kitaabikal-ladzii anzalta wa bi nabiyyikal-ladzii arsalt
(Ya Allah,aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku menyerahkan semua urusanku kepada-Mu, aku menyandarkan belakangku kepada (pemeliharaan)-Mu, kerana mengharapkan kelebihan-Mu yang luas dan nikmat-Mu yang agung dan berlindung dari kemurkaan-Mu. Tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan dari (kemurkaan)-Mu, kecuali kembali kepada-Mu. Aku beriman pada kitab yang telah Engkau turunkan, dan kepada Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan)

Jika kamu meninggal dunia (di waktu tidur), maka kamu meninggal dunia dalam keadaan fitrah (agama Islam), maka jadikanlah ungkapan ini akhir perkataan kamu (sebelum tidur)”. Maka aku mengulangi membaca doa ini untuk mengingatinya, aku menyebut: aamantu bi rosuulikal-ladzii arsalt (sedangkan tadi baginda membaca: wa binabiyyikal-ladzii arsalt), Nabi bersabda: “Tidak, (kekalkan dengan membaca:) wa bi nabiyyikal-ladzii arsalt.”
(HR. Bukhari,no.247 & 6311)

‘Arasy Bergegar Kerana Kematian Seorang Sahabat Nabi ﷺ

:: Hadis 1 ::
dari Jabir bin Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Arasy bergegar kerana kematian Sa‘ad bin Mu’az.”
(HR. Bukhari,no.3803. Muslim,no.2466)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Apabila diusung jenazah Sa‘ad bin Mu’az,maka orang munafiq berkata: ‘Alangkah ringannya jenazahnya ini,dan ini adalah akibat penghakimannya terhadap Bani Quraizhah’. Maka perkara ini sampai kepada Nabi ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya para malaikat yang mengusung jenazahnya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3849. Dinilai ‘Hasan Sahih Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 3 ::
dari Anas,dia berkata,
“Dihadiahkan kepada Nabi ﷺ jubah yang diperbuat dari sundus (salah satu jenis sutera),sementara baginda ﷺ melarang (memakai) sutera. Maka orang-orang pun takjub dengan jubah itu. Maka Baginda ﷺ bersabda: ‘Demi Dzat yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya,sungguh sapu tangan Sa‘ad bin Mu’az di syurga lebih baik daripada ini’.”
(HR. Bukhari,no.2615. Muslim,no.2469)

Thursday, March 21, 2024

“Makan Apabila Lapar,Berhenti Sebelum Kenyang”

:: Hadis 1 ::
Nabi ﷺ bersabda, 
“Kami adalah suatu kaum yang tidak akan makan hingga merasa lapar,jika kami makan maka tidak sampai kenyang.”
(HR. Burhanuddin al-Halabi [rujuk: Sirah al-Halabiyyah,3/295])

NOTA:
Kata Syaikh al-Albani tentang hadis ini: “La asla lahu (tiada asalnya)” (rujuk: Silsilah as-Sahihah,3942). Walaupun hadis ini tidak sahih,namun maknanya benar berdasarkan hadis sahih yang lain:

:: Hadis 2 ::
dari Miqdam bin Ma’di Karib,Nabi ﷺ bersabda,
“Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suapan yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya dia tidak dapat (berbuat demikan),maka satu pertiga untuk makanan,satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2380. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Namun,makan/minum sehingga kenyang juga dibolehkan jika sekali sekala & tidak memudaratkan,kerana terdapat beberapa hadis sahih yang menunjukkan bahawa perkara tersebut dibenarkan,seperti beberapa hadis yang panjang:

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“...‘Duduk dan minumlah’. Lalu aku duduk dan minum. Baginda berkata lagi: ‘Minumlah’. Maka aku minum lagi. Baginda tidak henti menyuruhku minum sehingga aku berkata: ‘Aku tidak mahu lagi. Demi Tuhan yang mengutuskan Engkau dengan kebenaran,aku tidak mendapati bahagian dalam badanku yang boleh menerima minuman lagi’. Baginda berkata: ‘Berikan kepadaku’. Lalu,aku memberikan bekas minuman kepada Rasulullah ﷺ. Baginda bertahmid kepada Allah,membaca Basmalah dan meminum lebihan susu tersebut.”
(HR. Bukhari,no.6452)

:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,bahawa ketika Abu Thalhah dan Ummu Sulaim menjamu Nabi ﷺ dan para sahabat yang menggali parit,
“...Kemudian baginda ﷺ berkata: ‘Izinkan 10 orang masuk’. Lalu mereka diizinkan masuk,mereka makan sehingga kenyang,kemudian mereka keluar...”
(HR. Bukhari,no.3578)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ meninggal dunia ketika kami merasai kekenyangan disebabkan tamar dan air.”
(HR. Bukhari,no.5383)

Tuesday, March 19, 2024

Cara Membersihkan Darah Haid Yang Terkena Pada Pakaian

dari Asma’,dia berkata,
“Seorang perempuan datang kepada Rasulullah ﷺ lalu bertanya: ‘Bagaimanakah pendapat tuan jika salah seorang daripada kami,kainnya terkena darah haid,apakah yang harus dia lakukan?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Hendaklah dia menyental (kain yang terkena darah itu),kemudian menggores dengan kukunya dengan air,dan merenjisnya dengan air,setelah itu bolehlah dia menunaikan solat dengannya’.”
(HR. Bukhari,no.227)

Monday, March 18, 2024

Hadis-Hadis Yang Tidak Sahih Tentang Bulan Ramadhan Berdasarkan Penilaian Syaikh Khalid al-Hayek

:: Hadis 1 ::
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
dari Anas bin Malik,bahawa Nabi ﷺ apabila masuknya bulan Rejab,Baginda ﷺ berdoa:
Allahumma bariklana fii Rajab wa Sya’ban,wa barik [wa ballighnaa] lanaa fii Ramadhan (Ya Allah,Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatilah kepada kami pada bulan Ramadhan)”. Baginda ﷺ bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.
(HR. Ahmad,no.2228)

dari Anas bin Malik,bahawa Nabi ﷺ apabila masuknya bulan Rejab,Baginda ﷺ berdoa:
Allahumma bariklanaa fii Rajab wa Sya’ban,wa bariklanaa fii Ramadhan (Ya Allah,Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan)”. Baginda ﷺ bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang benderang”.
(HR. Ibn Sunni [rujuk: Amal al-Yaum wa al-Lailah,1/610]. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,5/348,no.3534]. al-Bazzar [rujuk: Musnad al-Bazzar,13/117,no.6496]. Abu Nu’aim [rujuk: Hilyah al-Awliya’,6/269])

:: Hadis 2 ::
اللهم أهله علينا بالأمن والإيمان والسلامة والإسلام
dari Talhah bin Ubaidillah,dia berkata:
“Apabila baginda ﷺ melihat anak bulan,baginda ﷺ akan membaca doa: Allahumma ahlilhu ‘alayna bil yumni wal iimaani wa salaamati wal islaam. Robbii wa robbukAllah (Ya Allah,keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan,serta berikanlah keselamatan dan keIslaman,Tuhanku dan Tuhanmu [anak bulan] ialah Allah)”.
(HR. at-Tirmidzi,no.3373)

dari Ibn Umar,bahawa Nabi ﷺ berdoa:
Allahumma ahillahu ‘alayna bil amni wal iimaani wa salaamati wal islaam,wattaufiqi limaa nuhibbu wa tardha. Robbunaa wa robbukAllah (Ya Allah,keluarkanlah daripada anak bulan ini ke atas kami dengan keamanan dan keimanan,serta berikanlah keselamatan dan keIslaman,bantulah atas setiap apa yang kami sukai dan yang Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhanmu [anak bulan] ialah Allah)”.
(HR. Ibn Hibban,no.888)

:: Hadis 3 ::
صوموا تصحوا
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda:
“Berpuasalah,nescaya kamu akan sihat”
(HR. at-Thabrani [rujuk: al-Awsath,8/174,no.8312]. al-Iraqi [rujuk: Takhrij Ihya',5/453,no.2753])

:: Hadis 4 ::
للصائم عند فطره دعوة لا ترد
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa ketika berbuka,mempunyai doa yang mustajab yang tidak ditolak”
(HR. Ibnu Majah,no.1753)

:: Hadis 5 ::
لا تزال أمتي بخير ما أخَّروا السحور وعجَّلوا الفطر
dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Umatku tidak henti-hentinya berada dalam kebaikan selama mereka mengakhirkan sahur dan segera berbuka”
(HR. Ahmad,no.20530 & 20350)

NOTA:
Kata Syaikh Khalid al-Hayek,hadis dengan lafaz ini tidak sahih kerana dalam sanadnya ada perawi bernama Ibn Lahi’ah (seorang perawi Dha’if). Kemudian,Syaikh Khalid bawa hadis yang lafaznya Sahih:

dari Sahl bin Sa’d,Rasulullah ﷺ bersabda:
لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”
(HR. Bukhari,no.1957. Muslim,no.1098)

:: Hadis 6 ::
اللهم لك صمت وعلى رزقك أفطرت
dari Mu’adz bin Zuhrah,telah sampai kepadanya bahawa Nabi ﷺ apabila berbuka,baginda berdoa:
Allahumma lakasumtu,wa ‘ala rizqika afthortu (Ya Allah,kerana-Mu aku berpuasa,dan atas rezeki dari-Mu aku berbuka)”
(HR. Abu Daud,no.2358)

:: Hadis 7 ::
أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Permulaan bulan Ramadhan membawa kerahmatan,pertengahannya keampunan dan kesudahannya pelepasan daripada api neraka”
(HR. Ibn ‘Adiy [rujuk: al-Kamil fii Dhu’afa’,4/325]. al-‘Uqaili [rujuk: adh-Dhu’afa’ al-Kabir,2/162])

:: Hadis 8 ::
يا أيها الناس أظلكم شهر عظيم أوله رحمة وأوسطه مغفرة وآخره عتق من النار
dari Salman al-Farisi,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Wahai sekalian manusia,bulan yang agung menaungi kamu...permulaannya rahmat,pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka”
(HR. Ibn Khuzaimah,no.1887. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,no 3608])

:: Hadis 9 ::
أتاكم رمضان، شهر بركة، يغشاكم الله فيه، فينزل الرحمة، ويحط الخطايا ويستجيب فيه الدعاء، وينظر الله تعالى إلى تنافسكم فيه، ويباهي بكم ملائكته، فأروا الله من أنفسكم خيرا، فإن الشقي من حرم فيه رحمة الله عز وجل
dari ‘Ubadah as-Somit,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Ramadan telah datang kepadamu,bulan yang penuh berkat. Allah menaungimu, menurunkan rahmat,menghapus dosa dan mengabulkan doa. Allah Ta’ala melihat persainganmu antara satu sama lain dalam malakukan amal kebaikan di dalam Ramadhan (untuk menggembirakan-Nya) dan bermegah tentang kamu kapada para malaikat-Nya. Maka,tunjukkanlah kepada Allah Ta’ala usahamu untuk kesolehan dan ketakwaan,kerana sesungguhnya orang yang paling malang adalah orang yang dihalang daripada rahmat Allah ‘Azza wa Jalla di dalam bulan yang berkat ini.”
(HR. at-Thabrani [rujuk: Musnad al-Syamiyyin,no.2238])

:: Hadis 10 ::
الصيام نصف الصبر
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“..Puasa adalah separuh dari kesabaran..”
(HR. Ibnu Majah,no.1745)

dari seseorang lelaki Bani Sulaim,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“..Puasa adalah separuh dari kesabaran..”
(HR. Ahmad,no.17571,21995,22058 & 22078. at-Tirmidzi,no.3519. ad-Darimi,no.680)

:: Hadis 11 ::
أحب عبادي لي أعجلهم فطرا
 dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Allah S.W.T berfirman: ‘Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang amat Aku cintai ialah yang segera berbuka’.”
(HR. Ahmad no.7240. at-Tirmidzi,no.700. Ibn Hibban,no.3507. al-Baihaqi,no.7909. Abu Ya`la,no.5974. at-Thabrani [rujuk: al-Awsath,no.14])

:: Hadis 12 ::
إن لله عند كل فطر عتقاء من النار
dari Jabir bin Abdullah dan Abu Umamah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesungguhnya setiap kali waktu berbuka,bagi Allah terdapat beberapa orang yang dibebaskan dari neraka.”
(HR. at-Thabrani [rujuk: al-Kabir,8/284]. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,5/221]. asy-Syaukani [rujuk: al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudhu’ah,1/257]. al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami’,no.2170])

:: Hadis 13 ::
من أفطر يوما من رمضان من غير عذر ولا مرض لم يقضه صوم الدهر وإن صامه
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang tidak berpuasa sehari dari puasa Ramadhan tanpa sebarang uzur dan sebarang sakit,dia tidak akan dapat qadhanya sekalipun berpuasa selama setahun”
(HR. at-Tirmidzi,no.723. Abu Daud,no.2396. Ibnu Majah,no.1672)

:: Hadis 14 ::
ثلاثة لا ترد دعوتهم: الصائم حين يفطر، والإمام العادل، ودعوة المظلوم يرفعها الله فوق الغمام وتفتح لها أبواب السماء ويقول الرب وعزتي وجلالي لأنصرنك ولو بعد حين
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil,orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi. Allah akan angkat doanya ke atas awan dan membuka baginya pintu-pintu langit dan berfirman: ‘Demi kemuliaan dan keagungan-Ku,sungguh Aku akan menolongmu walaupun selepas beberapa ketika”
(HR. at-Tirmidzi,no.3598. Ibnu Majah,no.1752)

:: Hadis 15 ::
يوم صومكم يوم نحركم
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Hari puasa kamu adalah hari korban kamu.”
(HR. as-Subki [rujuk: Thabaqat asy-Syafi’iyyah,2/150])

:: Hadis 16 ::
خمس يفطِّرن الصائم وينقضن الوضوء: الكذب، والنميمة، والغيبة، والنظر بشهوة، واليمين الكاذبة
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda:
“Lima perkara yang membuat orang berpuasa itu berbuka dan juga membatalkan wudhuk iaitu: menipu,mengumpat,mengadu domba,melihat dengan syahwat dan bersumpah tipu.”
(HR. al-Jawraqani [rujuk: al-Abathil,1/351]. Ibn Jauzi [rujuk: al-Maudhu’at,1131])

:: Hadis 17 ::
خطبنا رسول الله صلى الله عليه وسلم في آخر يوم من شعبان، فقال: يا أيها الناس قد أظلكم شهر عظيم مبارك، شهر فيه ليلة خير من ألف شهر، جعل الله تعالى صيامه فريضة، وقيام ليله تطوعاً، من تقرب فيه بخصلة من الخير كان كمن أدى فريضة فيما سواه

NOTA:
Riwayat hadisnya sama dengan Hadis 9 di atas.

:: Hadis 18 ::
لو يعلم العباد ما في رمضان لتمنت أمتي أن تكون السنة كلها رمضان، إن الجنة لتزيّن لرمضان من رأس الحول إلى الحول
dari ‘Abdullah bin Mas’ud,Nabi ﷺ bersabda:
“Kalau manusia mengetahui apa yang ada di dalam Ramadhan,sudah pasti mereka akan bercita-cita setahun dipenuhi dengan bulan Ramadhan seluruhnya. Sesungguhnya syurga akan dihiasi untuk Ramadhan dari hujung tahun hingga tahun berikutnya...”
(HR. Abu Ya’la [rujuk: al-Musnad,9/180]. Ibn Khuzaimah,3/190. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,3,313])

:: Hadis 19 ::
لا تقولوا رمضان؛ فإن رمضان اسم من أسماء الله تعالى، ولكن قولوا: شهر رمضان
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Janganlah kamu berkata: ‘Ramadan’. Sesungguhnya Ramadan itu adalah salah satu daripada nama-nama Allah SWT,tetapi sebutlah: ‘bulan Ramadan’.”
(HR. al-Baihaqi,no.7904. Ibn ‘Adiy [rujuk: al-Kamil,7/2517])

:: Hadis 20 ::
نوم الصائم عبادة، وصَمْتُه تسبيح، وعمَلُه مضاعف، ودعاؤه مستجاب، وذنبه مغفور
dari Abdullah bin Abi Aufa,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Tidurnya orang yang berpuasa itu dianggap ibadah,dan diamnya merupakan tasbih,dan amalnya (diganjari) berlipat ganda,dan doanya mustajab,sedang dosanya diampuni.”
(HR. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,no.3937,3938 & 3939]. al-Khallal [rujuk: al-Majalis al-‘Asyarah,no.40])

:: Hadis 21 ::
أعطيت أمتي خمس خصال في رمضان لم تعطها أمة قبلهم: خلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك، وتستغفر لهم الملائكة حتى يفطروا، ويزين الله عز وجل كل يوم جنته، ثم يقول: يوشك عبادي الصالحون أن يلقوا عنهم المؤنة والأذى ويصيروا إليك، ويصفد فيه مردة الشياطين فلا يخلصوا إلى ما كانوا يخلصون إليه في غيره، ويغفر لهم في آخر ليلة، قيل: يا رسول الله أهي ليلة القدر؟ قال: لا، ولكن العامل إنما يوفى أجره إذا قضى عمله
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Umatku pada bulan Ramadhan diberi lima keutamaan yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya,iaitu: Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari pada aroma kasturi,para malaikat memohon ampunan bagi mereka sampai mereka berbuka,Allah Azza Wajalla setiap hari menghiasi syurga-Nya lalu berfirman (kepada syurga): ‘Hampir tiba masanya hamba-Ku yang soleh dibebaskan dari beban dan derita serta mereka menuju kepadamu’. Pada bulan ini para syaitan yang jahat diikat sehingga mereka tidak bebas bergerak seperti pada bulan lainnya,dan diberikan kepada umatku ampunan pada akhir malam.” Baginda ditanya: ‘Wahai Rasulullah apakah malam itu Lailatul Qadar?’ Jawab baginda: ‘Tidak,namun orang yang beramal tentu diberi balasannya jika menyelesaikan amalnya’.”
(HR. Ahmad,no.7576. al-Bazzar,no.8571)

:: Hadis 22 ::
إذا صمتم فاستاكوا بالغداة ولا تستاكوا بالعشي
Nabi ﷺ bersabda:
“Apabila kamu berpuasa,maka hendaklah kamu bersiwak pada waktu pagi (iaitu sebelum terbit waktu fajar) dan janganlah kamu bersiwak pada waktu petang (ketika sedang berpuasa)..”
(HR. al-Bazzar,no.2137. at-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Kabir,4/78]. ad-Daraquthni,2/204. al-Baihaqi,4/274. Hadis² ini diriwayatkan melalui jalur riwayat Abu Hurairah,Khabab secara Marfu’,dan terdapat juga riwayat lain yg Mauquf atas ‘Ali bin Abi Thalib)

:: Hadis 23 ::
اعتكاف عشر في رمضان كحجتين وعمرتين
dari al-Husain bin ‘Ali,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Barangsiapa yang beri’tikaf pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan,maka pahalanya itu umpama melaksanakan dua kali haji dan dua kali ‘umrah.”
(HR. at-Thabrani [rujuk: al-Kabir,3/128]. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,3/425,no.3794])

:: Hadis 24 ::
أفضل الصوم بعد رمضان شعبان لتعظيم رمضان، وأفضل الصدقة صدقة في رمضان
dari Anas,Nabi ﷺ bersabda:
“Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadhan adalah puasa Sya’ban untuk memuliakan Ramadhan dan sedekah yang paling utama adalah sedekah di bulan Ramadhan.”
(HR. at-Tirmidzi,no.663)

NOTA:
Kata Syaikh Khalid al-Hayek: “Ini adalah hadis-hadis yang terdapat kelemahan (Dha’if),dan sebahagiannya Palsu (Maudhu’)”.

RUJUKAN (status Facebook rasmi beliau):

Saturday, March 16, 2024

Tatacara Zikir Subhanallah,Alhamdulillah,Allahuakbar Setelah Solat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Orang ramai berkata: ‘Wahai Rasulullah,golongan yang kaya pergi dengan membawa darjat dan kenikmatan yang berterusan’. Baginda bertanya: ‘Bagaimana boleh terjadi seperti itu?’ Para sahabat menjawab: ‘Mereka solat sebagaimana kami solat,mereka berjihad sebagaimana kami berjihad,dan mereka memiliki kelebihan harta untuk bersedekah,sedangkan kami tidak mempunyai harta yang lebih’. Maka baginda bersabda: ‘Mahukah kamu aku khabarkan suatu perkara yang tidak akan menyamai golongan sebelum kamu,dan tidak pula didahului oleh golongan selepas kamu,dan tiada yang mendapatkannya kecuali orang yang melakukan perkara yang sama? Hendaklah kamu bertasbih (mengucapkan Subhanallah) selepas setiap kali solat sebanyak 10 kali,bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) sebanyak 10 kali,dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) sebanyak 10 kali’.”
(HR. Bukhari,no.6329)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu 'Umar,dia berkata,
“Seorang lelaki Ansar bermimpi,dan dalam mimpinya dia ditanya: ‘Apakah yang Nabi kamu perintahkan kepada kamu?’ Dia menjawab: ‘Baginda memerintahkan supaya kami bertasbih (mengucapkan Subhanallah) sebanyak 33 kali,bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) 33 kali,dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) 34 kali,maka genaplah 100 kali’. Kata orang yang bertanya: ‘Bertasbihlah kamu 25 kali,bertahmidlah 25 kali,bertakbirlah 25 kali,dan bertahlillah (mengucapkan La ilaha illallah) 25 kali,maka genaplah 100 kali’. Apabila menjelang pagi,lelaki Ansar tersebut menceritakan mimpi tersebut kepada Nabi ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Lakukanlah sebagaimana yang diceritakan oleh lelaki Ansar ini’.”
(HR. an-Nasaie,no.1351)

:: Hadis 3 ::
dari Ka’ab bin ‘Ujrah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Beberapa amalan yang tidak akan merugikan orang yang mengucapkannya ataupun mengamalkannya dipenghujung solat fardhu: ‘33 kali tasbih (mengucapkan Subhanallah),33 kali tahmid (mengucapkan Alhamdulillah),dan 34 kali takbir (mengucapkan Allahuakbar)’.”
(HR. Muslim,no.596. at-Tirmidzi,no.3412. an-Nasaie,no.1349. Ibnu Hibban,no.2019)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
”Sesiapa bertasbih (mengucapkan Subhanallah) kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali,dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) kepada Allah 33 kali,dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) kepada Allah 33 kali,hingga semuanya berjumlah 99” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: 
لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيْرٌ
La ila ha illallah,wahdahu laa syarikalah,lahul mulku wa lahul hamd,wa huwa 'ala kulli syai-in qodiir (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Yang Maha Esa,Tiada sekutu bagi-Nya,bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian,Dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu),maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”
(HR. Muslim,no.597)

Friday, March 15, 2024

Sahur Dan Kelebihannya

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Bersahurlah,kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
(HR. Bukhari,no.1923)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Said al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Maka,janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air,kerana sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla dan para malaikat-Nya mendoakan ke atas orang yang bersahur.”
(HR. Ahmad,no.10664 & 10969)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi tentang kesahihannya. Syaikh al-Albani menilai hadis ini sebagai ‘Hasan’ (rujuk: Sahih al-Jami',no.3683). Namun,Syaikh Musthofa al-'Adawi menilai hadis ini sebagai ‘Dhaif’ dalam video beliau.

:: Hadis 3 ::
dari ‘Amr bin al-‘As,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”
(HR. Muslim,no.1096)

:: Hadis 4 ::
dari Anas,bahawa Zaid bin Tsabit berkata,
“Kami bersahur bersama Nabi ﷺ. Kemudian Baginda berdiri untuk solat”. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.”
(HR. Bukhari,no.1921)

NOTA:
Ibnu Hajar al-'Asqalani berkata bahawa anggaran bacaan 50 ayat adalah kadar bacaan sederhana,tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat (rujuk: Fath al-Bari,4/139). Anggarannya dalam 15 - 20 minit sebelum masuk waktu Subuh.

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: ‘Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku,nescaya Aku perkenankan baginya. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku,nescaya Aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku,nescaya Aku akan mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.1145)

NOTA:
Walaupun hadis ini secara umum (bukan khusus tentang Sahur),tetapi secara tidak langsung hadis ini menunjukkan bahawa waktu Sahur itu waktu yang dimakbulkan doa,kerana waktu sahur termasuk di dalam “sepertiga malam terakhir”.
Wallahua'lam.

Bumi Dijadikan Sebagai Tempat Sujud

dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Di mana saja kamu menemui solat,maka solatlah kerana bumi dijadikan sebagai tempat sujud.”
(HR. Bukhari,no.3425. Muslim,no.520)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Solat ditempat tinggal syaitan adalah makruh dengan persepakatan ulama’,seperti tempat minum arak,bar,tempat najis dan seumpamanya daripada tempat-tempat maksiat dan dosa yang besar,gereja,tempat perniagaan,tempat perjudian,dan sebagainya. Jika dia solat di salah satu daripada tempat-tempat ini tanpa menyentuh najis dengan tangan atau pakaian,solatnya adalah sah tetapi hukumnya makruh” (rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,3/162).

Kelebihan Solat Tarawih

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yg melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan,maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”
(HR. Bukhari,no.37. Muslim,no.759)

NOTA:
Kata imam an-Nawawi: “yang dimaksudkan dengan “Qiyam Ramadhan” adalah “Solat Tarawih” (rujuk: Syarah Sahih Muslim,6/39).

Tuesday, March 12, 2024

Azab Orang Yang Meninggalkan Solat Fardhu,Ada Ilmu al-Quran Tapi Tidak Mengamalkannya,Suka Menipu,Berzina & Pemakan Riba

Samurah bin Jundab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sering bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Adakah ada daripada kamu yang bermimpi?’ Lalu sesiapa yang dikehendaki Allah akan menceritakan (mimpinya) kepada baginda ﷺ. Pada satu pagi,baginda ﷺ berkata: “Sesungguhnya malam tadi,datang dua (malaikat) kepada ku (di dalam mimpi). Mereka berdua mengejutkan aku. Mereka berkata kepada aku: ‘Bergeraklah’. Maka aku bergerak bersama mereka. Kami bertemu dengan seseorang lelaki yang sedang berbaring,dan ada seorang lelaki lagi sedang berdiri sambil memegang batu yang besar. Lelaki yang memegang batu itu menjatuhkan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tadi. Lalu berkecailah kepalanya. Batu itu bergolek dan lelaki yang menjatuhkan batu itu mengikut batu itu dan mengambilnya kembali. Apabila lelaki yang mengambil itu kembali kepada lelaki yang berbaring tersebut,keadaan kepalanya sudah kembali pulih seperti sedia kala. Lelaki itu mengulangi perbuatannya seperti yang dia lakukan pada kali pertama (iaitu menjatuhkan batu besar itu ke kepala lelaki yang berbaring itu). Aku bertanya kepada mereka berdua: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang lelaki tadi?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehinggalah kami menemui seorang lelaki yang sedang terlentang di atas tengkuknya,dan ada seorang lagi lelaki sedang berdiri di atasnya dengan memegang pencangkuk yang diperbuat daripada besi. Lelaki yang memegang pencangkuk tadi pergi ke satu bahagian wajah lelaki yang berbaring tadi,lalu dia mencarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuknya,mencarik dari lubang hidungnya hingga ke tengkuknya,dan mencarik dari matanya hingga ke tengkuknya. Kemudian lelaki itu beralih pula sisi wajah yang satu lagi,lalu dia melakukan seperti mana yang dia lakukan pada sisi wajah yang tadi. Tidaklah dia selesai melakukan hal tersebut pada sisi wajah itu melainkan bahagian wajah yang pertama dicarik tadi sudah pulih seperti asalnya. Kemudian lelaki itu akan kembali ke bahagian wajah yang sudah pulih itu lalu melakukan sebagaimana yang dia lakukan pada kali pertama tadi. Aku berkata: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang ini?’ Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Bergeraklah’. Lalu kami pun bergerak sehingga kami sampai ke satu tempat yang bentuknya seperti tempat membakar roti. Kedengaran di dalam tempat tersebut jeritan suara. Kami meninjau ke dalamnya lalu kami dapati di dalam tempat tersebut terdapat lelaki dan wanita yang dalam keadaan bertelanjang. Api datang menjamah mereka dari arah bawah mereka. Apabila api itu datang ke arah mereka,maka mereka akan menjerit. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: (Tempat seperti bekas membakar roti itu) bahagian atasnya sempit dan bawahnya luas. Dinyalakan di bawahnya api. Apabila api itu marak menjulang ke atas,penghuni di dalamnya naik ke atas sehingga hampir-hampir keluar darinya,apabila api itu telah reda,maka mereka kembali ke dalam tempat tersebut). Aku bertanya kepada dua malaikat: ‘Siapakah mereka (iaitu orang-orang yang di dalam tempat seperti pembakar roti)?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami sampai di sebatang sungai yang merah seperti darah. Di dalam sungai itu terdapat seorang lelaki yang sedang berenang,manakala di tebing sungai terdapat seorang lelaki yang mengumpulkan banyak batu bersamanya. Apabila lelaki yang berenang itu terus berenang sehinggalah dia sampai ke tempat lelaki yang mengumpulkan banyak batu tadi,lalu perenang itu membukakan mulutnya,dan lelaki yang di tebing sungai itu mencampakkan batu ke dalam mulut perenang tadi. Lalu perenang tadi terus berenang,kemudian datang kembali ke tempat lelaki di tebing sungai itu. Setiap kali dia kembali ke lelaki itu,dia akan membuka mulutnya dan lelaki itu mencampakkan batu ke dalam mulutnya. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah dua orang tersebut?’ Kedua-dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu dengan seorang lelaki yang sangat hodoh wajahnya,seolah-olah itu adalah manusia paling hodoh yang pernah engkau lihat. Bersama dengan lelaki itu adalah api,dia menyalakannya dan mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat lagi: ‘Siapakah lelaki ini?’ Mereka berkata: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu kami sampai ke satu taman yang sangat rimbun pokok-pokoknya dengan segala jenis warna bunga-bunganya. Di tengah-tengah taman tersebut terdapat seorang lelaki yang tinggi,hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana tingginya sehingga ke langit. Di sekeliling lelaki itu terdapat kanak-kanak yang sangat ramai yang pernah aku lihat. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah lelaki ini,dan siapa pula kanak-kanak itu?’ Dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga sampai ke taman yang sangat besar. Tidak pernah aku lihat taman yang lebih besar dan lebih cantik daripada taman itu. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Panjatlah taman itu’. Lalu kami memanjatnya sehingga kami sampai ke satu bandar yang dibina daripada batu-bata yang diperbuat daripada emas dan perak. Kami pergi ke pintu bandar itu lalu meminta agar pintu itu dibuka. Maka dibukakan pintu itu untuk kami. Kami masuk dan kami bertemu dengan sekelompok manusia yang separuh daripada tubuh badan mereka adalah secantik-cantik yang pernah engkau lihat,manakala separuh daripada tubuh badan mereka pula adalah sehodoh-hodoh yang pernah engkau lihat. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada mereka: ‘Pergilah dan masuk ke dalam sungai itu’. Sungai itu adalah sungai yang mengalir dan airnya putih seolah-olah susu yang asli. Mereka pergi dan masuk ke dalam sungai tersebut. Kemudian mereka kembali kepada kami dalam keadaan telah hilang rupa yang hodoh daripada tubuh mereka, dan mereka berubah menjadi sebaik-baik bentuk. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Kedua malaikat itu menaikkan aku ke atas pokok itu, dan memasukkan aku ke dalam rumah yang paling indah yang pernah aku lihat. Di dalamnya terdapat kaum lelaki tua dan muda, wanita dan kanak-kanak. Kemudian kedua malaikat itu mengeluarkan aku dari tempat itu dan menaikkan aku ke atas pokok dan memasukkan aku ke dalam satu rumah yang lain pula. Rumah itu lebih indah dan baik. Di dalamnya terdapat lelaki tua dan muda). Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah syurga ‘Adn. Ini pula adalah rumah engkau’. Lalu aku pun mengangkat pandangan ku ke atas. Aku melihat terdapat sebuah istana seperti awan-awan yang putih. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah rumah engkau’. Aku berkata kepada mereka berdua: ‘Semoga Allah memberkati kamu. Tinggalkanlah aku supaya aku dapat masuk ke dalamnya’. Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Sekarang tidak boleh,akan tetapi engkau akan memasukinya jua (selepas mati nanti). Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat itu: ‘Sesungguhnya sejak malam tadi aku telah melihat perkara-perkara yang pelik. Apakah perkara-perkara yang telah aku lihat itu?’ Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Kami akan beritahu kepada mu. Lelaki yang pertama yang engkau datang kepadanya,lalu kepalanya dipecahkan dengan batu. Sesungguhnya dia adalah lelaki yang mengambil al-Quran lalu menolaknya,dan dia tidur daripada menunaikan solat fardhu. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Dia adalah seorang lelaki yang telah Allah berikan ilmu tentang al-Quran,akan tetapi dia tidur daripadanya pada waktu malam,dan tidak beramal dengannya di waktu siang). Lelaki yang engkau lihat dicarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuk,lubang hidungnya hingga ke tengkuk,dan matanya hingga ke tengkuk,adalah lelaki yang keluar dari rumahnya lalu banyak menipu. Lelaki dan perempuan yang bertelanjang di dalam tempat seperti tempat membakar roti ialah wanita dan lelaki yang berzina. Lelaki yang engkau lihat berenang di sungai dan diberi makan batu,dia adalah pemakan riba. Lelaki yang hodoh wajahnya yang bersama api yang dia nyalakan dan mengelilinginya,itu adalah malaikat Malik,penjaga neraka. Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim. Kanak-kanak yang ada di sekelilingnya adalah setiap kanak-kanak yang mati dalam keadaan fitrah’. Sebahagian sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah,bagaimana pula dengan anak orang Musyrikin? Baginda menjawab: ‘Begitu juga anak-anak orang musyrikin (mereka akan berada di situ seperti anak-anak orang Islam)’. Kelompok manusia yang separuh tubuhnya elok,dan separuhnya rosak. Mereka adalah kelompok yang mencampurkan amal soleh mereka dengan amal kejahatan,akan tetapi Allah telah mengampuni mereka.(Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Rumah yang pertama yang aku masuki adalah rumah kebanyakan orang beriman,manakala rumah yang kedua adalah rumah mereka yang mati syahid). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim,kedua-dua malaikat itu akhirnya memperkenalkan diri mereka: ‘Aku adalah Jibril,dan ini Mikail). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim juga disebutkan: ‘Dilaksanakan (azab itu) sehingga hari kiamat’).”
(HR. Bukhari,no.7047 & 1386)

Wednesday, March 6, 2024

Aduan Wanita Yang Didengari Oleh Allah Dari Atas Langit Ketujuh

dari Abu Zaid,dia berkata,
“Bahawa Umar melintasi seorang wanita tua,lalu wanita itu memintanya berhenti,maka Umar pun
berhenti lalu berbicara dengannya,maka seorang lelaki berkata kepada Umar: ‘Wahai amirul mukminin,engkau menahan orang-orang kerana perempuan tua ini’. Umar pun berkata: ‘Celaka kau,tahukah engkau,siapa dia? Dia adalah wanita yang Allah mendengarkan pengaduannya dari atas langit ke tujuh,inilah Khaulah yang berkenaan dengannya Allah menurunkan ayat: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya’ (al-Mujadilah [58]: ayat 1)”
(HR. Bukhari [rujuk: at-Tarikh,7/245]. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Radd 'ala al-Jahmiyyah,274]. adz-Dzahabi [rujuk: al-'Uluw,63])

NOTA:
Atsar ini dinilai 'Dhaif' oleh Imam Ibnu Hatim dengan katanya: “Ini munqothi' (terputus sanad) antara Abu Zaid dan Umar,dan ia telah diriwayatkan dari wajah yang lain” (rujuk: Ibnu Katsir,Tafsir Ibnu Katsir,8/60-61). Imam adz-Dzahabi juga berkata sanad hadis ini terputus,kerana Abu Zaid tidak bertemu Umar (rujuk: al-'Uluw,63).

Tuesday, March 5, 2024

Rasulullah ﷺ Suka Manisan Dan Madu

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menyukai manisan dan madu”
(HR. Bukhari,no.5614)

Monday, March 4, 2024

“Umatku,Umatku” Bukan Ucapan Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat nanti akan bersesak-sesak antara satu sama lain seperti ombak. Mereka akan datang kepada Nabi Adam dan berkata: ‘Syafaatilah kami kepada tuhan mu’. Nabi Adam menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian berjumpa Nabi Ibrahim. Dia adalah Khalil Ar-Rahman’. Mereka datang kepada Nabi Ibrahim,lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Musa,sesungguhnya dia Kalimullah’. Lalu mereka pergi kepada Nabi Musa,lalu baginda menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Isa,sesungguhnya dia adalah ruh yang Allah ciptakan dan kalimah-Nya’. Lalu mereka datang kepada Nabi Isa lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Akan tetapi pergilah kalian kepada Muhammad ﷺ’. Lalu mereka datang kepada baginda,dan baginda berkata: ‘Aku akan melakukannya’. Baginda berkata: “Aku akan memohon keizinan tuhan ku,dan Dia akan memberikan keizinan kepada ku. Kemudian Allah akan mengilhamkan kepada aku pujian-pujian yang akan aku memuji-Nya yang sekarang aku tidak tahu tentangnya. Aku akan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut dan aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Lalu diseru: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebiji gandum keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada keimanan yang lebih kecil daripada biji sawi’. Keluarkan dia dari neraka. Aku pun pergi dan melakukannya.”

Apabila kami (iaitu orang-orang yang bertanya kepada Anas tadi tentang hadis syafaat) pulang daripada menemui Anas,aku (iaitu Ma'bad) berkata kepada sahabat-sahabat kami: “Apa kata jika kita pergi menemui al-Hasan. Dia berada di rumah Abu Khalifah lalu kita sampaikan kepada al-Hasan tentang apa yang Anas sampaikan kepada kami. Lalu kami pun menemui beliau dan memberi salam kepadanya. Dia mengizinkan kami dan kami berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Said,kami baru tiba dari menemui saudara mu Anas bin Malik. Kami tidak pernah mendengar seperti apa yang dia baru sampaikan kepada kami tentang syafaat’.
Al-Hasan berkata: ‘Teruskan kata-kata engkau. Lalu kami pun menyampaikan hadis tersebut dan berhenti (pada apa yang telah Anas sampaikan)’. Al-Hasan berkata: ‘Teruskan lagi’. Kami menjawab: ‘Dia tidak menyampaikan kepada kami lebih daripada ini. Sesungguhnya dia telah menyampaikan kepada aku kisah ini secara penuh sejak 20 tahun yang lain. Aku tidak tahu adakah dia lupa atau tidak suka nanti kamu akan bertawakkal sahaja’. Kami berkata: ‘Wahai Abu Sa'id,sampaikanlah kepada kami’. Beliau ketawa dan berkata: ‘Manusia diciptakan tergesa-gesa. Aku tidak akan menyebutkannya kecuali aku memang mahu menceritakannya kepada kamu’. Anas menyampaikan kepada aku sebagaimana dia sampaikan kepada kamu”. al-Hasan berkata,(Rasulullah ﷺ bersabda): “Kemudian aku kembali untuk kali yang keempat dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepadaNya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi’. Aku meminta: ‘Ya Allah,izin kan aku memberi syafaat kepada sesiapa yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’. Allah menjawab: ‘Demi kekuasaan,kemuliaan-Ku,keagungan-Ku. Sungguh akan Aku keluarkan sesiapa sahaja yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’.”
(HR. Bukhari,no.7510. Muslim,no.193)

Ucapan Terakhir Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

:: Hadis 1 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga’. Apabila Rasulullah ﷺ dalam kesakitan dan menghampiri maut,kepala baginda atas pehaku dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar,matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: Allahumma ar-rafiq al-a'la (Ya Allah,teman yang tertinggi).”
(HR. Bukhari,no.6509. Muslim,no.2444)

:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Ketika Nabi ﷺ bersandar di pangkuanku,aku dengar baginda mengucapkan: Allahummaghfirlii warhamnii wa-alhiqnii bir-rafiqil a'la (Ya Allah,ampunkanlah aku,rahmatilah aku,dan himpunkanlah aku bersama ar-Rafiq al-A’la”. 
(HR. Bukhari,no.5674. Muslim,no.2191)

NOTA:
Yang dimaksudkan dengan "teman yang tertinggi" adalah para Nabi,orang-orang siddiqin,orang-orang syahid dan orang-orang soleh,sebagaimana yang disebutkan dip dalam al-Quran:

:: Qur'an ::
Allah berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka,iaitu Nabi-nabi,dan orang-orang Siddiqiin,dan orang-orang yang Syahid,serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(an-Nisa' [4]: ayat 69)

Sunday, March 3, 2024

Rasulullah ﷺ Terlupa Surah

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Qur’an pada suatu malam,dan bersabda: ‘Moga Allah merahmatinya,dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Qur’an yang telah dilupakan daripada aku’.”
(HR. Bukhari,no.5038. Muslim,no.788)

Islam Itu Bersifat Mudah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Biarkan aku sepertimana aku membiarkan kamu. Sesungguhnya yang membinasakan manusia sebelum kamu ialah pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu,maka jauhilah ia dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu,maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
(HR. Bukhari 7288. Muslim,no.1337)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah,dan tidaklah sama sekali seseorang yang terlalu ketat dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya (jauh daripada manhaj beragama yang sebenar),oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam.”
(HR. Bukhari,no.39. an-Nasaie,no.5034)

Friday, March 1, 2024

Diazab Kerana Menyelisihi Sunnah

dari Abi Rabah,dia berkata,
“Bahawasanya beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) melihat seseorang solat setelah terbitnya fajar lebih dari dua rakaat,orang tersebut memperbanyak ruku’ dan sujudnya. Maka beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) pun melarangnya. Lalu orang tersebut berkata: ‘Wahai Abu Muhammad (Sa’id bin Al-Musayyab),adakah Allah mengazabku kerana mengerjakan solat?’ Sa’id Ibnul Musayyab menjawab: ‘Tidak,akan tetapi (Allah) mengazab engkau kerana menyelisihi Sunnah’.”
(HR. ‘Abdurrazzaq,no.4755. al-Baihaqi [rujuk: Sunan al-Kubra,2/466,no.4621]. Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/236])