MENU

Saturday, August 29, 2015

Boleh Membayar Upah Bekam

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Abu Thaibah membekam Rasulullah ﷺ lalu baginda membayarnya dengan satu sha’ kurma dan baginda mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.
(HR. Bukhari,no.2102. Muslim,no.1577)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi ﷺ memberinya upah dan bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya. Jika berbekam ini adalah haram,tentu Nabi ﷺ tidak memberikannya upah.”
(HR. Bukhari,no.2103. Muslim,no.1202)

Larangan Menjual di atas Jualan Orang Lain

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah seseorang itu menjual atas jualan saudaranya.”
(HR. Bukhari,no.2139. Muslim,no.1412)

NOTA:
 contoh,ketika 'peniaga A' menjual barang dengan harga RM80 kepada pembeli. Tiba-tiba datang 'peniaga B' mengatakan kepada pembeli (dalam masa Khiyar): "Batalkan jual beli ini,nanti aku akan menjual kepadamu barang yang sama dengan harga yang lbih murah dari harga asal (contoh: RM60)". Begitu juga dengan pembeli dengan pembeli yg lain. Contoh,'peniaga' & 'pembeli A' sudah berjanji & bersepakat dengan 'peniaga' untuk menjual barang dengan harga RM100 (dalam tempoh khiyar),kemudian datang 'pembeli B' berkata: "Jual dekat aku,nanti aku beli dengan harga RM120,lebih mahal dari itu".
Wallahua'lam.

Nabi Larang Jual Beli Kucing?

:: Hadis 1 ::
dari Abu az-Zubair,ia berkata,
“Aku bertanya kepada Jabir berkenaan jual beli anjing dan kucing. Dia menjawab bahawa Nabi ﷺ melarang perkara itu.” 
(HR. Muslim,no.1569)

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.”
(HR. Abu Daud,no.3479. at-Tirmidzi,no.1279)

NOTA:
Kedua-dua hadis ini Ma'lul (mempunyai kecacatan),tidak Sahih bahkan Munkar. Ia dinilai tidak sahih oleh imam Ahmad ibn Hanbal sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali (rujuk: Jami' al-Ulum wa al-Hikam,hal. 774,huraian hadis no.45) serta dalam syarah 'Ilal at-Tirmidzi (2/866). Juga dinilai tidak sahih oleh imam at-Tirmidzi (rujuk: al-Jami' al-Mukhtasar,2/596) dan imam Muslim sendiri (dalam Sahih-nya) secara isyarat iaitu beliau meletakkan hadis ini sebagai hadis terakhir dalam bab. Syaikh Musthofa al-'Adawi juga menilai hadith ini tidak sahih,Ma'lul (cacat) di dalam video beliau.

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang harga (jual beli) kucing dan anjing,melainkan anjing buruan.”
(HR. an-Nasaie,no.4295)

NOTA:
Hadis ini juga dinilai 'Dhaif' oleh imam an-Nasaie selepas meriwayatkan hadis ini dengan katanya: “Hadis Hajjaj dari Hammad ibn Salamah,dan ianya tidak sahih”. Hadis-hadis larangan jual beli kucing kesemuanya tidak Sahih,sebagaimana yang dikatakan oleh imam Ibnu Abdil Barr (rujuk: at-Tamhid,8/403). Maka,kucing dibenarkan untuk dijual beli.
Wallahua'lam.

Kelebihan Kurma 'Ajwa

:: Hadis 1 ::
dari Sa‘ad bin Abu Waqqas̄,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma ‘Ajwah pada waktu pagi,tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”
(HR. Bukhari,no.5445. Muslim,no.2047)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya pada kurma ‘Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun,apabila dimakan pada awal pagi.”
(HR. Muslim,no.2048)

Cara Menggunakan Anjing Terlatih Untuk Memburu

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya”
(al-Ma’idah [5]: ayat 4)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Sesungguhnya kami adalah satu kaum yang berburu menggunakan anjing-anjing ini’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Sekiranya engkau telah melepaskan anjing-anjingmu yang terlatih dan engkau telah menyebut nama Allah,maka makanlah apa yang ia telah tangkap untukmu,kecuali jika anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya kerana sesungguhnya aku khuatir bahawasanya ia telah menangkap (binatang buruan tersebut) untuk dirinya. Dan jika anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain,maka janganlah engkau memakannya.”
(HR. Bukhari,no.5487)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Tsa‘labah al-Khusyani,dia berkata,
“Aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah,sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab,maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku,anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih,maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)?’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab,sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya,maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain),maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah,maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah,maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut),maka makanlah’.”
(HR. Bukhari,no.5478)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi‘radh. Lalu baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu),maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya,maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu,janganlah kamu makan’. Aku berkata lagi: ‘Aku melepaskan anjingku’. Baginda menjawab: ‘Apabila engkau melepaskan anjingmu dan engkau menyebut nama Allah,maka makanlah’. Kemudian aku bertanya lagi: ‘Apabila anjing itu memakan (haiwan buruan itu)?’ Baginda menjawab: ‘Jangan dimakan,sesungguhnya ia tidak menangkap (haiwan itu) untukmu,ia menangkap untuk dirinya sendiri’. Aku berkata: ‘Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya?’ Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain’.”
(HR. Bukhari,no.5476)

Larangan Mengintip Rumah Orang Lain Tanpa Izin

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Abul Qosim ﷺ bersabda,
“Seandainya seseorang mengintipmu tanpa izin,lalu kamu melontarnya dengan batu kecil sehingga mencederakan matanya,maka tidak ada dosa bagimu.”
(HR. Bukhari,no.6902. Muslim,no.2158)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Sesungguhnya ada seorang lelaki pernah mengintai ke dalam sebahagian bilik Nabi ﷺ,maka Nabi ﷺ berdiri menghampirinya dengan membawa mata anak panah (atau kata perawi: beberapa mata anak panah). Aku seakan-akan masih melihat baginda berjalan perlahan-lahan kepada lelaki tersebut untuk menusuk matanya.”
(HR. Bukhari,no.6242. Muslim,no.2157)